Semuanya bermula pada Isnin 28hb Disember apabila isteriku (Nurasyikin) terjatuh dalam bilik air di tempat kerjanya di Hospital Putrajaya. Selepas menerima panggilan darinya menyatakan dia terjatuh aku terus menyuruhnya untuk terus melakukan pemeriksaan kalau-kalau terdapat sebarang kesan terhadap kandungan. Selepas beberapa jam kemudian dia menelefonku kembali dan menyatakan hasil pemeriksaan menunjukkan kandungan sihat dan tidak mengalami apa apa masalah.
Selasa malam rabu, aku dan isteri seperti malam-malam lain berehat di ruang tamu sambil menonton tv. Kira-kira jam 12 malam isteri mula mengadu katanya air ketuban mula turun. Masa tu aku dah mula gelisah dan mengajaknya ke hospital. Namun dia berkeras katanya lambat lagi nak bersalin kerana belum rasa sakit. Esok pagi sajalah katanya.
Pagi Rabu kami terus ke Hospital Pakar Wanita An-Nur, Bangi. Aku menelefon ofis memberitahu pegawai bahawa aku terpaksa cuti kerana ada hal kecemasan. Waktu itu isteriku sudah mula rasa sakit-sakit. Jam 12.30 tengah hari selepas menjalani pemeriksaan kami ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar pakej bersalin di Hospital Pakar wanita An-Nur. Isteri pula waktu itu dah mula sakit sakit semakin kuat. Selepas mendaftar dan memeriksa bilik, kami pulang ke rumah untuk mengambil pakaian kami dan pakaian untuk bayi yang bakal dilahirkan nanti.
Jam 4 petang kami kembali ke Hospital Pakar Wanita An-Nur. Kami berehat di bilik yang telah disediakan. Isteriku waktu itu agak sudah kerap sakitnya. Aku membuat beberapa panggilan memaklumakan kepada keluarga sebelah isteri dan keluargaku di kampung bahawa kami kini sudah berada di hospital menanti saat kelahiran orang baru dalam keluarga kami.
Jam 8 malam ibu mertua bersama adik ipar tiba. Isteriku pun semakin kerap kesakitan yang diasakan. Aku pun mula gelisah melihat isteri yang dah mula mengaduh. Aku ke kaunter bertanyakan kalau-kalau ada ubat mahupun suntikan yang boleh meredakan kesakitan itu. Kemudian bidan datang untuk memeriksa keadaan isteriku. Katanya seperti lambat lagi untuk bersalin jika mengikut pemeriksaannya terhadap isteriku. Lalu sebatang jarum diinjek untuk meredakan kesakitan.
Jam 12 malam isteriku semakin tak tertanggung kesakitan yang dialaminya. Dia bangun mundar mandir sambil menahan kesakitan. Aku sudah tiada perkataan untuk aku nyatakan waktu itu. Sungguh kasihan dan pilu hatiku melihat dia menanggung sakit begitu.
Jam 2 pagi perkara sama masih berlaku. Isteriku tak dapat duduk langsung. Hanya berdiri sambil berjalan mundar mandir, pegang dinding sambil mengaduh kesakitan. Aku bertanya jika perlu memanggil doktor untuk memeriksa tetapi dia berkeras katanya belum tiba waktu bersalin lagi.
Jam 5.30 pagi aku sudah tidak tahan lagi. Aku keluar bilik dan terus ke kaunter memberitahu yang aku ingin isteriku dibius. Sudah tak tertahan aku melihat dia menderita. Apa lagi dia yang menanggung kesakitannya semestinya lagi berasa tidak tahan.
Jam 6.00 pagi isteriku di bawa ke 'labour room'. Di sana pakar bius sudah menunggu. Selepas dimasukkan bius barulah isteriku dapat baring dan berehat. Katanya dah tak rasa sakit. Tapi aku dapat rasakan badannya teramat panas. Dia demam. Mungkin kerana semalaman tidak dapat tidur malah tidak dapat duduk kerana kesakitan yang teramat sangat.
Jam 6.20 Dr. Siti Fatimah tiba dan memeriksa isteriku. Katanya isteriku tidak dapat bersalin normal. Jika dilengahkan lagi waktu bersalin maka akan memberi risiko kepada bayi. Lalu aku diminta untuk menanda tangani borang membenarkan isteriku bersalin secara 'caesarean' atau pembedahan.
Jam 7.15 pagi isteriku dibawa ke bilik pembedahan. Waktu itu tuhan sahaja tau berapa laju denyut jantungku. Ibu mertua dan adik-adik ipar masih dalam perjalanan dari rumahku ke hospital waktu itu. Apa yang mampu aku lakukan ialah hanya berdoa semoga isteriku dan bayi selamat.
Jam 8.09 pagi aku mendengar tangisan bayi dari bilik pembedahan. Aku tersenyum. Aku terus ke 'labour room' di tempat bayi akan dibawa selepas dilahirkan. Hanya Allah yang tahu rasa kegembiraan apabila aku melihat cahaya mataku selamat dilahirkan. Aku bertanyakan kepada jururawat tentang keadaan isteriku dan katanya isteriku juga selamat. Alhamdulillah. Syukur ya Allah yang telah memberiku cahaya mata yang sihat dan comel. Terima kasih isteriku yang sanggup berkorban menggadaikan nyawa untuk melahirkan zuriatku. Sesungguhnaya pengorbanan seorang isteri dan ibu sewaktu melahirkan adalah sebesar-besar pengorbanan.

Nurhana Binti Mohd Faizal

Aku tertidur kepenatan selepas isteriku bersalin

Nurhana atas dukungku
Hari ini cahayamataku dah berusia 1 bulan 2 hari. Cepat besar yer Nurhana. Daddy sayang kamu..!!







Klik Untuk Play











